Nuffnang : Terhangat Masa Kini

Khamis, 5 Oktober 2017

Benarkah PPIM Mula Besar Kepala? Ancam Komuniti Ahmadiyah

PETALING JAYA: Komuniti kecil pengikut fahaman Ahmadiah di Selangor hidup dalam ketakutan susulan ancaman dan amaran terhadap mereka pada satu sidang media yang dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) minggu lalu.


Dalam sidang media pada 27 September, jurucakap Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH) menggesa pihak berkuasa agama Islam bertindak terhadap Baitusalam, yang menjadi tempat pertemuan pengikut fahaman Ahmadiah sejak berdekad lama.

Ahmadiah ialah fahaman Islam dari benua kecil India, yang diisytiharkan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Fahaman itu turut dikecam melalui khutbah Jumaat serata Selangor bagi mengingatkan orang Islam yang fahaman itu bukan sebahagian daripada Islam.

Selama berdekad, pengikut fahaman Ahmadiah di Baitusalam, sebuah bangunan 3 tingkat di Kampung Nakhoda, Batu Caves, hidup aman damai dengan penduduk setempat, walaupun pernah diganggu pihak berkuasa agama.

Tetapi menurut Jariullah Ahmad, jurucakap Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia yang menguruskan pusat itu, beberapa orang tempatan tidak berpuas hati dengan aktiviti tertutup kumpulan itu, lalu membuat aduan kepada PPIM.

Jariullah paling bimbang dengan kenyataan berbaur ancaman oleh Pengerusi GBAH, Masridzi Sat pada sidang media di PPIM 27 September lalu, termasuk kenyataan yang merujuk kepada keganasan terhadap pengikut ajaran Ahmadiah di Indonesia.

“Jumaat ini mungkin mereka akan menganjurkam demonstrasi di hadapan masjid kami,” kata Jariullah.

Di sidang media itu, Masridzi menggesa pihak berkuasa agama dan tempatan bertindak terhadap pusat itu kerana Islam menurutnya “sedang dipermain-mainkan di Kampung Nakhoda”.


“Majlis Perbandaran Selayang jangan bersubahat dengan mereka kerana ini isu besar, kita melindungi orang Islam daripada murtad,” katanya.

Masridzi kemudian membayangkan kegagalan pihak berkuasa menutup pusat itu bermakna kumpulan akan mengambil tindakan sendiri.

“Kami sedang uruskan, kalau NGO yang uruskan kena faham sendirilah,” katanya.

“Kalau di Indonesia, kita bakar tempat puak-puak ini, markas dia,” tambahnya.

Ketika dihubungi, Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan menepis kebimbangan Ahmadiah dan berkata mereka hanya akan berhimpun menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap kumpulan itu.

“Tiada benda pelik-pelik kita nak buat, nak bakar roboh itu semua tiada,” katanya.

“Kalau mereka ini Islam, tindakan cara Islam, kalau bukan Islam tindakan macam mana pula…itu sahaja.”

Nadzim juga berkata PPBM bukan penganjur tunjuk perasaan itu, sekadar menyokong tindakan terhadap pengikut fahaman itu.

Sementara itu, Jariullah memberitahu pertubuhan mereka baru-baru ini bersetuju untuk berdebat dengan PPIM.

“Kami lebih rela berdebat daripada terlibat dengan kekasaran dan kami sudah menghantar surat menerima tawaran debat dari PPIM,” katanya.

Fahaman Ahmadiah berasaskan ajaran Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian, India, yang mereka percaya Mahdi yang dijanjikan.

Orang Islam menganggap ajaran itu bukan sebahagian ajaran Islam utama, pendirian yang difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1975, mengisytiharkan pengikut Ahmadiah menyimpang dari kepercayaan Islam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang : Terhangat Masa Kini 3

busuk