Oleh: Syed Rosli Jamalullail
Saya berasa bahawa mana-mana pemimpin UMNO yang tidak menyokong Datuk Sri (Najib Tun Razak) maka memang patutlah Datuk Sri memecat mereka.
Semenjak dari dahulu lagi saya dapat melihat pemimpin seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan Menteri Besar Kedah tidak pernah sekalipun menyatakan sokongan beliau kepada Presiden parti dan Perdana Menteri. Kenapa ?
Tidakkah sepatutnya Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar jawatan yang dilantik oleh Perdana Menteri harus menyatakan sokongan kepada Ketua beliau sendiri?
Saya berasakan bahawa Mukhriz Mahathir ini sudah tidak sesuai lagi berada dalam jawatan penting kerajaan kerana beliau mungkin akan mendatangkan kemudaratan kepada Perdana Menteri itu sendiri.
Tindakan Perdana Menteri memecat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal adalah tepat kerana mereka tidak memberikan sokongan kepada Perdana Menteri lagi.
Maka wajar lah juga Mukhriz Mahathir dipecat dari jawatan kerajaan.
Seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya diberikan sokongan penuh oleh seluruh ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya sudah boleh ditahan dibawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Kenyataan Dr Mahathir dalam blog dan sidang media beliau terlalu banyak tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas terhadap perdana menteri, 1MDB, wang derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, serta kerajaan, menyebabkan rakyat menjadi keliru.

Beliau juga boleh dikatakan menghasut rakyat supaya membenci dan menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi dan politik negara. Ini cukup membahayakan negara dan perdana menteri Malaysia.
Muhyiddin pula di setiap mesyuarat Umno Bahagian yang beliau rasmikan masih menbangkit perkara sama, iaitu seakan cuba menghasut ahli-ahli Umno bangkit melawan kerajaan di bawah pemerintahan Najib, perdana menteri Malaysia yang sah.
Tuduhan dan tohmahan daripada bekas perdana menteri dan timbalan perdana menteri ini amat merbahaya kepada negara. Ia perlu dihentikan daripada memberi kesan buruk kepada negara secara amnya.
Tindakan perlu diambil segera oleh pihak polis bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara.
Mereka berdua ini sudah sepatutnya ditahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan segera.
Walaupun penerangan dan penjelasan sudah diberi, serta jawapan sudah tercalar, namun Dr Mahathir dan Muhyiddin masih membuat tuduhan dan tohmahan berniat menghasut membenci kerajaan di bawah pemerintahan Najib.
Nota:
* Penulis ialah Ketua Penerangan Cawangan merangkap Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan, Umno Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Selangor dan pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada Pemilihan UMNO 2013.
** Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari laman Facebook beliau dan tidak semestinya mewakili pandangan SuaraTV.