Nuffnang : Terhangat Masa Kini

Rabu, 23 Mei 2018

CUEPACS RAYU PERDANA MENTERI KEKALKAN KGT

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan melaksanakan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada seluruh 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata walaupun perkara itu dijanjikan kerajaan terdahulu, pelaksanaan KGT memiliki asas kukuh, iaitu gaji penjawat awam sedia ada tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup.

"CUEPACS berharap kenaikan ini dapat diteruskan kerajaan baharu kerana ia sangat ditunggu-tunggu penjawat awam yang rata-rata gaji mereka tidak mampu menanggung beban kenaikan kos sara hidup.

"Ini berikutan Sistem Saraan Malaysia (SSM) sudah begitu lama tidak disemak. Kali terakhir ia disemak ialah pada 2002, iaitu hampir 16 tahun lalu.

"SSM sepatut disemak setiap lima tahun. Namun apabila ia tidak berlaku, kenaikan kos sara hidup jauh meninggalkan gaji penjawat awam," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini, yang menjelaskan kerajaan tidak terikat dengan KGT dijanjikan pentadbiran terdahulu.

"Bagaimanapun, kami akan melihat perkara (KGT) itu secara positif sama ada mereka (penjawat awam) berhak diberi elaun tambahan atau bentuk bantuan lain," kata Perdana Menteri.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-16 pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pemberian kenaikan gaji bersamaan satu KGT kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai depan, membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

Azih berkata, CUEPACS yakin kerajaan baharu pimpinan Dr Mahathir akan menampilkan inisiatif lebih baik untuk kakitangan awam, namun KGT adalah sesuatu yang amat diharapkan.

"CUEPACS merayu kepada Perdana Menteri untuk melihat ke arah kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang kerajaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang : Terhangat Masa Kini 3

busuk