SUNGAI PETANI – “Saya bertekad untuk menjadi anggota tentera yang berani seperti bapa,” demikian kata Sarjan Nor Azlinda Mat Aznan, 29.
Jurulatih Kanan Kor Perkhidmatan Am, 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Lapangan Terbang di sini berkata keberanian dan pengorbananan bapanya Koperal Mat Aznan Awang menjadi pembakar semangat baginya untuk menjadi anggota tentera yang berani dan dapat menyelesaikan misi yang ditugaskan.
Mat Aznan merupakan wira negara yang terkorban dalam perempuran Bakara Market atau dikenali sebagai Black Hawk Down, di Somalia pada 1993.
Allahyarham merupakan anggota Pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT 1) yang terkorban selepas kereta perisai yang dipandunya terkena pelancar roket RPG yang ditembak oleh puak militia Farah Aideed.
“Saya ingat lagi pesanan arwah ayah yang mahu saya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi ustazah, tetapi akhirnya saya ikut jejak langkah ayah menjadi tentera,” kata anak sulung daripada dua beradik ini.
Azlinda yang menyertai 19 RAMD sejak lapan tahun lepas berkata beliau bersedia untuk berkhidmat di negara bergolak seperti Somalia sekiranya khidmatnya diperlukan.
“Saya memang teringin untuk menyertai misi pengamam Malaysia (MALBATT) tetapi belum ada peluang. Jika berpeluang pasti saya tidak tolak,” katanya.
Majlis mengenang jasa wira pertempuran Bakara Market diadakan di sini semalam.
Ibu Azlinda, Siti Zauyaj Yahya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana turut menghargai jasa dan pengorbanan suaminya.
“Penghargaan ini amat bermakna buat anggota tentera yang menyertai MALBATT 1,” katanya yang kini menetap di Baling.
Sementara itu rakan Allahyarham, Lans Koperal (B) Mohd Sobri Ahmad, 55, berkata ketika kejadian kereta perisai Condo yang dinaiki mereka dibedil dengan peluru dan pelancar roket.
“Ribuan peluru hinggap pada kereta perisai kami tetapi semangat juang yang tinggi membuatkan kami meneruskan misi menyelamat Renjer Amerika yang terkepung itu,” katanya.
Beliau berkata akhirnya sebuah kereta perisai tentera Malaysia terkena peluru pelancar roket yang membunuh Allahyarham Koperal Mat Aznan.
“Kenangan ini kekal dalam minda kami yang terlibat dalam misi tersebut,” katanya yang kini menetap di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan