RIMAS dan menyesakkan dada. Itulah pengalaman yang dilalui Nur Hafizah Md. Akhir, 26, ketika menunggu hidangan juadah makan malam di sebuah restoran berhampiran kediamannya.
Rasa kurang selesa yang dialaminya bukan kerana faktor persekitaran yang dipenuhi pelanggan di restoran tersebut tetapi tindakan sekumpulan anak muda yang menghembuskan kepulan asap daripada rokok elektronik atau vape.
Niatnya untuk menjamu selera di restoran tersebut bersama rakan-rakan sedikit terganggu apabila terpaksa ‘berkongsi’ kepulan asap yang menyelubungi ruang udara.
“Sukar untuk bernafas apabila kabus putih menyelubungi ruang udara tempat saya menjamu selera. Mereka sepatutnya menghormati hak orang lain yang berada di sekeliling dan bukannya menghembus asap sesuka hati,” jelasnya yang terpaksa berpindah ke tempat yang baharu kerana tidak tahan dengan bau kepulan asap tersebut.
Nur Hafizah berkata, tindakan sekumpulan anak muda tersebut menghembus asap vape sesuka hati tanpa memikirkan hak orang lain di sekeliling merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
“Mungkin mereka beranggapan tindakan menghembus asap vape sesuka hati bukan satu masalah kerana belum ada undang-undang yang melarang ia dihisap di tempat awam.
“Cuba bayangkan tiga atau empat orang menghembus asap rokok elektronik secara serentak, sudah tentu kawasan berhampirannya akan diselubungi asap tebal dan memberi rasa kurang selesa kepada orang sekeliling,” jelasnya yang mengusahakan perniagaan berasaskan makanan di Pulau Pinang.
Polimik
Sejak akhir-akhir ini vape menjadi satu alternatif baharu bagi perokok tegar untuk menghindari nikotin dan racun yang terdapat dalam rokok biasa. Apa yang lebih merunsingkan, apabila terdapat segelintir golongan wanita yang turut terjebak menghisap rokok elektronik walaupun sebelum ini mereka tidak merokok.
Bagaimanapun, aktiviti menghisap rokok elektronik beramai-ramai di kedai makan dan kemudiannya menghembus kepulan asap ke udara sehingga membentuk kabus putih adalah satu pemandangan yang biasa dilihat kini.
Tindakan ini sedikit sebanyak memberi rasa kurang selesa kepada orang awam lain yang berada berhampiran persekitaran mereka.
Seunit vape dijual pada harga RM150 manakala sebotol perisa berharga antara RM15 hingga RM50 mengikut jenis.
Polemik vape bermula apabila Kementerian Kesihatan pada awalnya telah mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik bagi mengelak risiko lebih buruk terhadap kesihatan pengguna.
Namun kerajaan memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan rokok elektronik tersebut selepas perbincangan dalam mesyuarat Kabinet.
Dalam pada itu Kosmo! baru-baru ini melaporkan terdapat cecair perisa vape yang menjadi kegilaan anak muda disahkan mengandungi dadah jenis ganja selepas cecair rokok elektronik berkenaan diuji di makmal Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri), Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
Sampel perisa vape yang mengandungi ganja itu diperoleh wartawan Kosmo! daripada seorang pembekal di Shah Alam, Selangor.
Pengarah Eseri, Prof. Madya Dr. Hafizan Juahir berkata, analisis makmal menggunakan kaedah kromatografi gas spektrometri jismim (kromatografi) ke atas satu sampel perisa vape yang dibekalkan wartawan Kosmo! tersebut mendapati, perisa berkenaan mengandungi dua jenis ganja semula jadi iaitu kanabidiol dan kanabinol serta satu ganja sintetik jenis dronabinol.
Perisa ganja tersebut dikenali dengan jenama Tenang is Good dijual pada harga sekitar RM40 sebotol bersaiz 10 mililiter.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, mereka yang menghisap vape seharusnya lebih peka dengan orang-orang sekeliling.
“Sewajarnya mereka mengambil pendekatan untuk menjadi lebih bertimbang rasa dan beretika dengan tidak menghembuskan asap sesuka hati di tempat awam.
“Hal ini penting kerana selain dapat mengelakkan kanak-kanak terpengaruh dengan perbuatan tidak sopan tersebut, ia juga dapat meningkatkan kualiti udara di tempat awam,” katanya
Undang-undang khas
Pada masa sama Nadzim turut menggesa kerajaan mewujudkan satu undang-undang khas mengenai vape.
Menurutnya, satu badan khas juga perlu dibentuk untuk mengawal penghasilan produk perasa rokok elektrik.
“Perasa yang dicampur dengan bahan terlarang sudah dikesan oleh pihak berkuasa. Justeru, perlu ada badan khas yang dibentuk bagi menangani isu yang sering diperdebatkan oleh banyak pihak pada masa kini.
“Kita juga tidak mahu peniaga vape mengaut keuntungan memperdaya orang ramai dengan menjual perasa yang boleh memberi kesan kepada kesihatan,” jelasnya.
Terbaharu, kebimbangan mengenai trend menghisap vape dalam kalangan pelajar universiti telah menyebabkan Kementerian Penggajian Tinggi mengambil tindakan tegas apabila mengharamkan penggunaan rokok elektronik di kawasan kampus 20 universiti awam.
Peraturan itu dikuatkuasakan setelah keputusan untuk melaksanakannya dicapai bersama 20 naib canselor universiti berkenaan dalam satu mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.
Sementara itu Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam kehidupan sosial masyarakat kita kini, rokok elektronik sudah menjadi satu trend dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi muda.
Menurut beliau, perkara ini terjadi disebabkan isu-isu berkaitan rokok elektronik didedahkan di laman-laman sosial sehingga menyuntik minat seseorang untuk mencuba.
“Masyarakat kita terutamanya generasi muda kini lebih mudah terpengaruh dan mungkin disebabkan itu mereka mempunyai keinginan untuk mencuba sesuatu yang bersifat terkini.
“Maka tidak hairanlah ada sesetengah golongan yang sebelum ini tidak merokok akhirnya terjebak dengan vape kerana keinginan mencuba sesuatu yang baharu. Kita boleh lihat sendiri di laman-laman sosial apabila sesetengah wanita tanpa segan silu memuat naik gambar mereka menghisap vape sambil menghembus asapnya,” jelas beliau.
Menurut beliau, bagi sesetengah orang memiliki rokok elektronik ini status sosial mereka mungkin sedikit tinggi berbanding orang lain kerana harganya mencecah ribuan ringgit.
Tindakan segelintir individu berpengaruh dan berkepentingan menyokong penjualan rokok elektronik juga telah menyebabkan pihak bertanggungjawab melaksanakan undang-undang sukar untuk mengharamkan penjualannya di pasaran.
“Apa yang membimbangkan adalah jika muncul perisa-perisa rokok elektronik ini yang menggunakan bahan terlarang untuk beri kesan khayalan yang lebih kuat sehingga boleh memberi kesan kepada kesihatan.
“Penjualan vape ini sewajarnya diharamkan kerana ia lebih banyak mendatangkan kesan negatif bukan sahaja kepada pengguna malah orang sekeliling,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan