Nuffnang : Terhangat Masa Kini

Ahad, 24 Januari 2016

Hukum Makan Ikan Rebus Dan Kelangsungan Ummah


DALAM satu rancangan lintas langsung di Radio Perak pada satu hari Jumaat, ada seorang pemanggil bertanya hukum makan ikan rebus yang diproses oleh bukan Islam tanpa membuang najis ikan berkenaan. Menjawab dalam ruang batas masa yang singkat sangat memerlukan skill menjawab yang penuh kebijaksanaan.

Teringat ketika berkursus di Rumah Fatwa Mesir ada seorang Syeikh berpesan agar jangan sekadar berfatwa (bagi tahap saya – bukan berfatwa tetapi sekadar menaqalkan dan memberi panduan hukum) tetapi gabungkan ia dengan dorongan yang bertanya itu untuk beramal di samping mengetahui hukumnya.
Tergambar dalam minda saya perbahasan ulama dalam isu ini. Para Imam mazhab yang empat tidak berselisih mengenai najis yang ada pada ikan yang kecil itu dimaafkan. Tetapi jika ikan itu bersaiz besar, ada perbincangan di kalangan ulama mazhab yang empat dan belum lagi dibuka perbincangan standard saiz yang dikira besar ataupun kecil.

Sejenak saya menjenguk ke luar minda daripada dikelilingi dengan bahasa-bahasa kitab kepada bahasa kehidupan yang realiti. Rupa-rupanya saya menemukan jawapan untuk penanya bahawa sudah ada pada hari ini ikan-ikan rebus yang diproses oleh tangan-tangan yang bersyahadah kepada Allah dan siap dibuang tahi dan najis sebelum diproses. Itulah solusi dan jawapan terbaik kepada yang menyoal untuk masa ini.

Belilah barangan yang diusahakan oleh saudara-saudara mu yang seaqidah. Dan sedarilah saudara-saudara seaqidahmu sangat memerlukan sokongan padu saudara-saudaranya yang lain. Faedahnya membantu saudara-saudara seaqidah akan kembali juga kepada kita secara individu dan begitu juga faedah yang dapat dikecapi sebagai satu ummah. Umat Islam hari ini mesti mengutamakan sifat tolong-menolong sesama saudara seaqidah dan itulah yang diajar di dalam al Quran.

Firman Allah: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (QS al Maidah 2).

Rupa-rupanya sangat benar peringatan syeikh berkenaan agar bahasa kitab perlu diadun dengan bahasa realiti dalam menjawab persoalan semasa hari ini.

Begitu juga pernah dalam satu forum saya ditanya mengenai hukum menjual tanah kepada orang kafir di Malaysia. Jika kita membaca laras-laras bahasa kitab, kita mendapati bahawa Nabi SAW biasa bertransaksi dengan orang Yahudi bahkan ketika Baginda SAW wafat baju perangnya masih tergadai kepada seorang Yahudi seperti yang direkodkan dalam hadith sahih al Bukhari. Sekilas faham maka hukum bertransaksi dengan orang kafir itu harus sahaja hukumnya selama mana tiada berniaga yang haram, mahupun menjual senjata kepada golongan kafir yang memerangi orang Islam ataupun selama mana kita menjauhi riba dan senarai bentuk perniagaan yang diharamkan oleh Islam.

Tetapi apabila laras bahasa kitab itu saya tinggalkan sebentar, lantas menumpukan perhatian kepada laras bahasa realiti yang berlaku kepada tanah-tanah umat Islam. Sesungguhnya salah satu daripada tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang terungkap sebagai berikut:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung- ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH-TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain” telah kita abaikan. Tanah rezab orang Melayu sekarang kurang daripada 12 peratus. Bahkan ada negeri yang langsung tiada lagi tanah rezab orang Melayu. Sedangkan bumi Allah ini adalah lebih berhak untuk diimarahkan dan dibangunkan oleh tangan-tangan yang beriman.

Firman Allah SWT: “Dia lah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.” (QS Hud ayat 61)

Ya… walaupun bahasa kitab secara umum mengharuskan jual beli tanah kepada orang bukan Islam namun bahasa semasa dan realiti mungkin memberi jawapan yang berbeza dari bahasa kitab.

HJ ZAMRI BIN HASHIM
TIMBALAN MUFTI PERAK
YDP ISMA IPOH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang : Terhangat Masa Kini 3

busuk