KUALA LUMPUR – Kerajaan Kanada memberi taraf pelarian kepada seorang pelajar Malaysia yang secara terbuka mengakui dirinya homoseksual dan ateis.
Keputusan itu dibuat panel Lembaga Imigresen dan Pelarian Kanada dalam sesi pendengaran selama 20 minit, semalam.
“Saya berasa sangat, sangat disayangi dan dihargai,” kata Hazim Ismail, pelajar Universiti Winnipeg yang khuatir tentang keselamatannya, jika dihantar pulang ke Malaysia.
Peguam Hazim, Bashir Khan yang dipetik CBC.ca berkata, anak guamnya tidak boleh diusir dari Kanada, mahupun dihantar pulang ke Malaysia, selepas mendapat status “orang dilindungi”.
“Ini adalah satu daripada kes di mana bukti adalah kukuh. Anak guam saya boleh dipercayai dan mendapat sokongan ramai dan dia menang tanya perlu terlalu bergelut dalam sesi pendengaran hari ini,” katanya.
Hazim akan menerima keputusan lembaga itu dalam bentuk hitam putih dalam tempoh tiga hingga enam minggu lagi.
Dokumen itu seterusnya akan membolehkan beliau memohon taraf penduduk tetap di Kanada yang dijangkakan mengambil masa 10 hingga 13 bulan untuk diproses.
Hazim telah ‘dibuang’ keluarganya yang turut berhenti membayar yuran pengajiannya di Kanada sejak tahun lalu, selepas mereka mendapat tahu beliau adalah homoseksual dan ateis.
Hazim turut menerima pelbagai ugutan, selepas beliau menjadi tumpuan media, susulan pelancaran kempen GoFundMe pada Disember lalu, bagi mengutip dana untuk membiayai yuran pengajiannya.
“Saya cuba berjuang untuk hidup, kerana Malaysia tidak mengalu-alukan golongan homoseksual,” katanya.
- SuaraTV
Tiada ulasan:
Catat Ulasan