Lelaki yang memuat naik gambarnya menziarahi kubur bapanya yang beragama Kristian pada hari raya sehingga tular di media sosial mempunyai alasan sendiri berbuat demikian.
Putra Rayyan Firdaus Marcellus, 35, berkata, beliau sudah bersedia dengan segala kemungkinan, termasuk dikecam netizen apabila membuat posting tersebut, tetapi menegaskan ia bukan sengaja mahu ditularkan untuk mencari publisiti.
"Bukan niat suka-suka nak viral, sebenarnya ada maksud tersirat di sebalik gambar-gambar itu.
"Di Sabah dan Sarawak ini bukan masalah besar, tapi bagi yang tak faham, mereka akan melihatnya sebagai pelik, sebab itu ada yang kecam saya," katanya kepada mStar Online, Sabtu.
Rayyan yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur berkata sudah menjadi kewajipan untuk beliau melawat kubur bapanya, mendiang Adrian @ Andugi Jungot setiap kali pulang ke kampung halamannya di Tenom, Sabah.
Jelasnya, ketika pulang berhari raya baru-baru ini, beliau telah mengunjungi kubur bapanya pada hari raya ketiga dan salah seorang anak buahnya telah merakamkan beberapa keping gambar.
"Saya muat naik gambar-gambar itu di Facebook untuk tatapan ahli keluarga, tak sangka ada yang 'share' dan jadi viral sebab saya Facebook saya tak 'private'.
"Terima kasih kepada yang faham maksud tersirat gambar itu, kepada yang kecam saya, tak apa saya tak marah sebab memang semuanya bermula daripada saya juga," katanya.
Menurut Rayyan, ibu dan bapanya adalah penganut agama Kristian dan beliau memeluk Islam ketika berusia 17 tahun.
Bapanya meninggal dunia pada 2014 kerana sakit tua.
"Ibu dan lima adik-beradik saya juga Kristian, tetapi saya dan dua lagi adik-beradik bersama datuk, nenek dan kebanyakan saudara-mara sebelah ibu beragama Islam.
"Walaupun berlainan agama, hubungan kekeluargaan tak pernah putus, kasih sayang tetap sama, cuma berbeza pegangan...itulah yang mahu saya sampaikan melalui gambar itu," katanya.
Bercerita lanjut, Rayyan berkata ibunya, Nora Allim, 70, juga terbuka dengan anak-anaknya yang beragama Islam dan tidak pernah menganggap agama sebagai penghalang hubungan kekeluargaan.
"Ibu tak kisah kami buat rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya, setiap kali raya memang kami adik-beradik dapat sokongan keluarga," katanya.
Bagaimanapun, tidak semua netizen mengecam apa yang dilakukan Rayyan.
Ada juga yang memuji sikapnya tidak pernah melupakan bapa kandungnya walaupun sudah tiada dan berbeza agama.
Malah, ada juga yang berkongsi kisah mereka yang hampir serupa dengan Rayyan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan