Nuffnang : Terhangat Masa Kini

Isnin, 26 Februari 2018

JPJ Perjelas Tindakan "Ala Gengster" Yang Diviralkan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan anggotanya bertindak samseng sewaktu melakukan pemeriksaan keatas sebuah lori di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, Johor pada 22 Februari lalu.


JPJ dalam satu kenyataan berkata, pemandu lori itu menuduh anggota JPJ memecahkan cermin lorinya sedangkan ia sudah sedia tertanggal dan jatuh ke tanah terlebih dahulu serta tidak pecah.

“Kejadian tersebut berlaku pada pukul 11.15 malam apabila anggota JPJ bertugas melihat sebuah lori menghala ke Johor Bharu dan mengesyaki membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

“Pasukan JPJ mengekori lori tersebut dengan memasang lampu mata arah sebelum mengarahkan kenderaan itu untuk berhenti di bahu jalan ketika berada di lokasi yang dinyatakan.

“Setelah memberhentikan kenderaan, pasukan JPJ membuat pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut namun pemandu lori telah menyorok dan mengunci kesemua pintu lori,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut JPJ, semasa pemeriksaan dibuat, pasukan JPJ mendapati ada ruang terbuka di sebelah tingkap kiri bahagian tepi belakang kenderaan lalu menyelak langsir tingkap lori tersebut dan mendapati pemandu itu berada di dalam.

Bagaimanapun, kata JPJ, pemandu tersebut enggan memberi kerjasama apabila diminta untuk diperiksa permit serta dokumen berkaitan dan juga arahan membawa kenderaan ke Stesen Penguatkuasa JPJ Ulu Tiram bagi ditimbang.

Tambah JPJ, anggota terbabit kemudian membuat laporan polis di atas ugutan dibuat oleh pemandu tersebut yang berkemungkinan mengancam keselamatan anggota dan ahli keluarga mereka.

Justeru, JPJ menafikan tohmahan yang tular di media sosial dan kecewa dengan dakwaan palsu yang telah dilemparkan di atas tugasan dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“JPJ menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang cerita, perkongsian mahupun berita tanpa mendapatkan kepastian daripada sumber yang benar,” kata kenyataan itu.-A

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang : Terhangat Masa Kini 3

busuk