Nuffnang : Terhangat Masa Kini

Khamis, 15 Februari 2018

Nur Sajat Dedah Identiti Sebenar Kepada JAKIM?

Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman mendedahkan beliau telah memaklumkan mengenai identiti sebenar dirinya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pendedahan ini dibuat pada pertemuan pertama beliau dan kedua ibu bapanya dengan Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof di Wisma Nur Sajat di Shah Alam, 16 Januari lalu.



“Saya dah dedahkan mengenai identiti sebenar saya kepada Dr Izwan dalam pertemuan terdahulu.

“Ibu bapa saya juga telah memberi keterangan mengenai identiti saya kepada dia,” katanya kepada mStar Online, Rabu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai ‘identiti’ yang didakwa telah didedahkannya kepada Jakim itu.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan Mohd Izwan mendakwa telah ‘dihalang’ oleh orang ketiga di pihak Sajat untuk meneruskan prosedur bagi mengesahkan identiti sebenar usahawan kosmetik itu.

Bagaimanapun, Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim berkata, pihaknya tetap komited meneruskan proses untuk mendapatkan pengesahan identiti sebenar usahawan itu bagi menjawab persoalan masyarakat.

Ditanya mengenai dakwaan membabitkan pihak ketiga itu, Sajat hanya menjawab ringkas: “No komen.”

Namun Sajat mengakui terdapat persetujuan antara beliau dan Jakim dalam menjalinkan kerjasama.

Beliau berkata, kerjasama yang dimaksudkan adalah lebih kepada pembabitannya dalam mana-mana program pembangunan perniagaan dan motivasi yang dikelolakan oleh jabatan itu.

“Berdasarkan pertemuan sebelum ini, Jakim datang melawat dan berkenalan dengan saya dan ibu bapa saya, susulan aduan seorang individu mengenai identiti saya.


“Bila orang datang salam, dah tentu kami sambut salam dengan baik. Ya, memang ada bincang mengenai kerjasama, tapi ia hanyalah kerjasama saya untuk tampil membantu masyarakat Islam memajukan perniagaan termasuk memberi motivasi kepada mereka untuk berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Sajat menggesa Jakim atau mana-mana pihak berkuasa memanggil dan menyiasat seorang penulis blog yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan berbentuk serangan peribadi ke atas beliau.

“Minta Jakim atau mana-mana badan panggil dan siasat dia sebab telah mengganggu hak asasi kemanusiaan saya dan anak-anak (angkat), serta melakukan provokasi secara terbuka untuk mengaibkan saya,” katanya.

Sajat turut menegaskan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis blog berkenaan.

Bulan lalu, Jakim menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar Sajat selepas mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik itu di Wisma Nur Sajat di Shah Alam.

Mohd Izwan kemudian dalam satu kenyataan pada 19 Januari lalu berkata, Jakim bersetuju beberapa proses perlu dilalui oleh Sajat untuk pengesahan identitinya secara rasmi, dan dijangkakan dalam tempoh sebulan paling minimum. – MSTAR ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang : Terhangat Masa Kini 3

busuk