LONDON – Pertubuhan Standard Media Bebas (IPSO) menerima lebih 1,400 aduan susulan komen biadap wartawan kanan akhbar mengkritik penyampai berita berhijab ketika melaporkan insiden di Nice.
Kelvin MacKenzie yang juga bekas ketua pengarang The Sun mempersoal kewajaran Fatima Manji, dipilih membaca berita di stesen Channel 4, mengenai serangan maut meragut puluhan nyawa di bandar Perancis itu 14 Julai lalu.
IPSO yang ditubuhkan pada 2014 bagi mengawal selia kebebasan media di Britain mengikut etika kewartawanan tinggi, dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya akan membincangkan aduan yang mereka terima untuk kes itu.
Dalam pada itu, menurut laporan BBC, pihak pengurusan slot Channel 4 News di stesen swasta England tersebut menegaskan, komen MacKenzie, ‘jelas tidak dapat diterima’ dan berbaur perkauman selain sentimen agama.
Stesen tersebut menyatakan akan membuat aduan rasmi kepada IPSO berhubung komen jahat MacKenzie, malah Fatima juga dilaporkan sedang mempertimbangkan tuntutan undang-undang terhadap wartawan senior berkenaan.
Ia bermula menerusi kolum komentarnya di The Sun, MacKenzie menulis di bawah tajuk “Saya tidak percaya apa yang saya lihat” tanpa menyedari Fatima yang memang selalu bersiaran dalam program berita mengenakan hijab.
Ketika itu wanita Muslimah tersebut secara kebetulan membaca berita dari studio Channel 4 di London, sementara rakannya, Jon Snow melaporkan insiden maut itu secara langsung dari lapangan tempat kejadian berdarah di Nice.
“Bagaimana dia (Fatima) begitu pantas berada di depan kamera ketika terjadi lagi serangan oleh seorang Muslim?” tulis MacKenzie yang hairan melihat penampilan wanita itu berhijab membaca berita mengenai peristiwa itu.
The Sun Dikutuk Kritik Pembaca Berita Berhijab
Seramai 84 orang terbunuh ketika penyerang, Mohamed Lahouaiej Bouhlel, pendatang Tunisia warga Perancis, memandu trak dan merempuh orang ramai di Nice semasa perayaan hari kemerdekaan Perancis baru-baru ini.
“Komentar di The Sun yang ditulis MacKenzie adalah tidak sopan, benar-benar tidak dapat diterima umum, dan menjurus kepada ungkapan kebencian terhadap agama dan kaum lain,” kata jurucakap stesen Channel 4.
“Adalah sangat salah untuk melarang seorang wartawan wanita berhijab kebetulan ditugaskan untuk melaporkan suatu berita tertentu, pada hari tertentu, hanya kerana anutan kepercayaannya,” tambahnya lagi kepada BBC.
IPSO sementara itu menyifatkan ribuan aduan yang diterima berhubung kenyataan kurang ajar oleh MacKenzie sebagai perbuatan yang jelas tidak menyenangkan masyarakat Britain dan nyata berbaur diskriminasi.
Akhbar tempatan Liverpool Echo, pula melaporkan Fatima ketika ditanya reaksinya memberi ulasan bahawa dirinya ‘tidak membayangkan MacKenzie akan sedia tampil untuk meminta maaf daripadanya dalam waktu terdekat’.
“Artikel MacKenzie adalah salah satu komentar daripada banyak stigma yang terus diperluas untuk menghukum kelompok tertentu. Dia (MacKenzie) telah memfitnah bahawa saya sebagai bersimpati kepada teroris,” katanya.
“Saya tidak akan berhenti… melawan mana-mana tindakan daripada sesiapapun yang menuding kehadiran kami masyarakat Islam tempatan di Britain sebagai hal yang boleh mengganggu rakyat keseluruhan,” kata Fatima lagi.
Jurucakap The Sun dalam pada itu menurut laporan BBC menyatakan bahawa mereka ‘tidak ada sebarang’ ulasan mengenai isu kontroversi tersebut buat masa sekarang. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan