Nuffnang : Terhangat Masa Kini

Isnin, 12 Oktober 2015

Kisah Lelaki Bangladesh Bernama Kareem

Gambar Hiasan

Saya bertemu dengan seorang lelaki Bangladesh di Gua Musang beberapa hari yang lalu. Ketika itu saya beserta seorang rakan sedang dalam perjalanan untuk melawat sebuah perkampungan orang asli yang terletak di ceruk bukit di sempadan Pahang, Perak dan Kelantan.


Tatkala kami menyeberang laluan tanah merah yang dipenuhi batu-bata serta serpihan simen, kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki tersangkut. Setelah berusaha menolak kenderaan tersebut ke tepi jalan, kami berdua tersadai sambil memikirkan cara untuk menyambung perjalanan.

Ketika itu lah kami bertemu dengan Kareem, seorang lelaki Bangladesh. Kareem yang menaiki sebuah trak pikap menawar bantuan untuk membawa kami ke destinasi. Memandangkan tiada cara lain yang dapat kami ikhtiarkan, kami pun terima sahaja undangan Kareem walaupun agak ragu-ragu pada mulanya.

Sepanjang satu jam perjalanan menaiki cerun yang curam serta laluan yang dipenuhi rintangan, Kareem yang agak ramah orangnya mengajak kami berceloteh panjang. Sambil berbual, fikiran saya dipenuhi dengan pelbagai tanda tanya – siapa Kareem? ; apa pekerjaannya? ; siapa yang empunya trak pikap?

Lumrah wanita, tak dapat saya bendung perasaan ingin tahu, jadi saya tujukan sahaja soalan tersebut kepada Kareem. Alhamdulillah, Kareem yang rancak berbicara sudi menceritakan kisahnya kepada kami berdua.

Kareem pertama kali menjejakkan kakinya di Malaysia dua puluh dua tahun yang lalu ketika dia berusia sembilan belas tahun. Ibu bapanya menjual sebahagian daripada tanah serta haiwan peliharaan mereka demi mengumpul RM35 ribu bagi membiayai Kareem dan dua saudaranya ke tanah ini.

Setibanya Kareem ke sini, dia dihantar untuk berkerja di sebuah tapak pembinaan di Sungai Buloh. Selepas berkerja beberapa tahun sahaja, permitnya yang tamat tempoh enggan diperbaharui oleh majikannya. Dalam pada itu, Kareem disuruh pula pulang ke negara asalnya.

Kareem yang rasa tertipu dek majikan serta ejennya itu bertekad tidak mahu pulang ke Bangladesh lalu cuba menuntut haknya. Namun dia berhadapan dengan risiko dipenjarakan kerana permit kerjanya sudahpun luput, lalu dia mengambil keputusan lari meninggalkan Sungai Buloh dan menuju ke Simpang Pulai.

Pada suatu hari, semasa sibuk memohon pekerjaan dengan pekedai tempatan, Kareem terdengar akan peluang pekerjaan di ladang sayur-sayuran di Cameron Highland. Bagai orang mengantuk disorong bantal, Kareem mula belajar selok-belok berkebun.

Pada ketika itulah Kareem bertemu dengan seorang gadis tempatan yang menambat hatinya. Dengan izin keluarga gadis tersebut, Kareem bernikah dengannya lalu mendirikan sebuah rumah di kampung gadis tersebut.

Apabila taukeh kebun tempat Kareem bekerja bertindak mengusir isteri serta keluarganya dari kampung mereka kerana mahu membina kebun di tanah kerajaan tersebut, Kareem mempertahankan keluarganya. Disebabkan tindakannya itu, Kareem dihentikan kerja.

Yakin dengan kemampuannya, Kareem mula mengusahakan tanah-tanah terbiar disekitar kampung isterinya dengan penanaman kacang boncis. Bagi menyuburkan tanah, dia menggunakan baja tahi ayam yang diperolehi daripada penduduk kampung yang sama. Bagi memastikan pengairan yang baik pula, Kareem menggunakan sumber air dari sungai yang berdekatan.

Makin lama, kebun Kareem makin menampakkan hasil. Dek kerana tidak cukup tangan, Kareem meminta bantuan bapa mentua serta abang dan adik iparnya. Sayangnya, mereka menolak kerana menurut mereka, cuaca yang panas serta baja yang busuk menjadikan suasana bekerja agak kurang selesa. Maka terpulang pada Kareem sahajalah untuk bertungkus-lumus mengusahakan kebunnya itu seorang diri.

“Saya sejak kecil sudah biasa kerja kuat. Kalau tak kerja satu bulan saya boleh mati. Kalau esok saya sudah jadi kaya, saya masih mahu kerja,” ujar Kareem.

Menurutnya lagi, ibunya yang berusia 70 tahun yang kini masih menetap di Bangladesh sehingga ke hari ini membanting tulang empat keratnya mengembala lembu di kampung. Kareem agak hairan dengan sikap keluarga isterinya serta penduduk kampung yang lain yang tidak kisah kais pagi makan pagi asalkan dapat beristirehat sepanjang hari.

“Mungkin mereka sudah biasa…” katanya tersenyum.

Dengan hasil jualan kacang boncis, Kareem menyara bukan sahaja isteri serta tiga orang anak, malahan juga ibubapa serta adik-beradik isterinya dan keluarganya sendiri di Bangladesh. Bahkan dengan perolehan daripada kebunnya itu, Kareem juga telah membeli trak pikap yang digunanya untuk menghantar hasil kebun kepada pemborong.

Dalam pada kami rancak berbual, kami akhirnya tiba di destinasi. Saya bertindak menghulurkan wang kepada Kareem tanda terima kasih dan sebagai tambang kos minyak bagi perjalanan selama satu jam tersebut, namun ditolak.

Budi pekerti Kareem bukan setakat itu sahaja kerana setelah habis melawat perkampungan orang asli tersebut, kami didatangi Kareem sekali lagi untuk membawa saya dan rakan kembali ke tempat kenderaan kami. Cukup baik hati budinya.

Kalau difikirkan, cerita Kareem mengingatkan saya akan betapa ruginya masyarakat tempatan kita kerana kealpaan sendiri. Jika seorang lelaki luar yang tidak punya apa boleh berusaha sehingga berupaya menanggung seisi rumah dan mampu pula memiliki kenderaan sedangkan orang tempatan sendiri yang punya semua keistimewaan hanya mampu mencari alasan. Malu sebenarnya.

Pelik. Sedangkan orang luar sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk datang ke negara kita demi mencari perkerjaan, kita pula sanggup menghangatkan punggung berjam lamanya asalkan tidak disuruh berkerja. Jika beginilah tabiat serta pemikiran cetek kita, tak usahlah kita memandang serong akan pekerja asing yang membanjiri negara kita. Bukan mereka yang meraikan kekayaan tanahair kita, malah kita sendiri yang menghulurkannya kepada mereka.

Wallahualam.

1 ulasan:

  1. KAMI SEKELUAR TAK LUPA UCAP PUJI SUKUR KEPADA ALLAH S,W,T DAN TERIMA KASIH BANYAK KEPADA AKI,ZYHE MAULANA KARNA NOMOR GHOIB/RITUAL YANG AKI, BERIKAN 4D (8301) BENAR BENAR TEMBUS 100% DAN SAYA MEMENANGKAN 230 RIBU RINGGIT ALHAMDULILLAH, SEKARANG SAYA BISA BALIK INDONESIA DAN MEMBELI RUMAH DAN KERETA WALAUPUN SAYA CUMA TKI YANG BEKERJA DI KILANG SELANGOR MALAYSIA, INI ADALAH KISAH NYATA DARI SAYA.JIKA ANDA PENUH KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN SILAH ANDA TELEPON LANGSUNG AKI ZYHE MAULANA DI NOMOR (0852-9827-5599)KERANA DIA ADALAH SUHU SPIRITUAL TERKENAL DI INDONESIA ATAU KUNJUNGI WEPSITE ~KLIK DISINI~
    JADI TEMAN YANG DALAM KESUSAHAN JANGAN PERNAH PUTUS ASAH, KALAU SUDAH WAKTUNYA TUHAN PASTI KASIH JALAN’TERIMAH KASIH..


    JIKA ANDA BUTUH ANGKA RITUAL 2D 3D 4D 5D 6D DI JAMIN 100% JEBOL ATAU PUNYA MUSTIKA GHAIB INGIN DIPAKAI MENARIK UANG BILAH BERMINAT TELEPON AKI ZYHE MAULANA NMR (0852-9827-5599) ATAU KUNJUNGI WEPSITE KLIK DISINI PAKAR MUSTIKA

    BalasPadam

Nuffnang : Terhangat Masa Kini 3

busuk