Nuffnang : Terhangat Masa Kini

Khamis, 12 Oktober 2017

Akibat Viral, Chalet Usang Diarah Tutup Serta Merta

PETALING JAYA: Semua banglo atau chalet di sebuah resort dekat Hutan Rekreasi Sungai Congkak di Hulu Langat ditutup berkuat kuasa serta-merta selepas ia tular kerana didakwa usang dan tidak selamat untuk diduduki pengunjung. 


Tourism Selangor yang menguruskan resort berkenaan dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ia mengambil serius aduan daripada orang awam berhubung chalet tersebut yang disifatkan sebagai buruk.

“Berdasarkan siasatan awal, Tourism Selangor kesal apabila mendapati chalet-chalet tersebut dalam keadaan tidak baik.

“Sehubungan itu, bagi menangani masalah tersebut, chalet-chalet ini ditutup berkuat kuasa serta-merta selama sebulan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan,” menurut kenyataan tersebut.


Difahamkan, terdapat kira-kira 14 chalet di resort tersebut dan kawasan itu turut meliputi hutan rekreasi dan sungai untuk kegunaan orang awam.

Menurut Tourism Selangor, kerja-kerja tersebut merupakan usaha untuk menaik taraf kesemua chalet bagi memastikan keselesaan pengunjung.

Bagaimanapun ia menegaskan bahawa Hutan Rekreasi Sungai Chongkak yang melalui proses kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan baru-baru ini terus dibuka kepada orang ramai. 

“Tourism Selangor secara peribadi memohon maaf kepada pihak yang membuat aduan dan akan memberikan ganti rugi di atas kesulitan yang dihadapi,” katanya. 

Pada Selasa, mStar Online melaporkan mengenai percutian sebuah keluarga bertukar menjadi mimpi ngeri apabila banglo yang disewa di resort tersebut tidak seindah seperti yang digambarkan.


“Kalau melihat gambar yang diberikan oleh ejen yang menguruskan tempahan memang cantik banglo tu. Tapi bila sampai depan banglo, aduhai dari luar dah nampak sedikit usang ya Tuhan. Rumah orang mati kena bunuh ke ni?,” luah seorang wanita di laman sosial pada Isnin dan posting itu telah tular di internet.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Emma, 44, mendakwa banglo yang disewa dengan kadar hampir RM400 pada Sabtu lalu bukan sekadar usang, tetapi keadaan di dalamnya dipenuhi habuk selain dinding dan siling diselaputi kulat serta kulapuk.

Selain keadaan di dalam banglo yang tidak bersih dan perabot yang uzur, dia turut mendakwa tiada keperluan asas seperti cerek disediakan oleh pihak pengurusan.

Menurut Emma, tujuan dia berkongsi pengalaman itu bukan berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau memalukan pihak pengurusan, tetapi tidak mahu kejadian berulang menimpa pengunjung lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nuffnang : Terhangat Masa Kini 3

busuk