Pengusaha teksi menyifatkan tindakan seorang pemandu teksi yang didakwa mengenakan tambang mahal serta mengajak penumpang tidur dengannya bagi menggantikan tambang sebagai kurang ajar dan memalukan.
Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail ketika dihubungi berkata, kebiadaban pemandu teksi itu membuktikan dia tidak insaf dan langsung tidak mahu berubah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang bagi menyaingi Uber dan Grab.
“Ini bukan sahaja memalukan industri dan pemandu teksi, tapi memalukan agama sendiri, akhlak kita di mana? Tidak kira pemandu itu Melayu, Cina atau India, setiap bangsa ada agama.
“Pemandu teksi masih tidak insaf dan tidak bangun dari tidur. Ini bukti mereka tidak ikhlas dan tidak mahu membuat perubahan,” katanya yang menafikan semua pemandu teksi bermasalah.
Beliau mengulas laporan seorang pemandu teksi didakwa meminta RM400 untuk perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke rumah mangsa di Seksyen 10 Wangsa Maju, selain mengajak penumpang tidur dengannya, jika tidak mampu membayar tambang tersebut.
China Press melaporkan dalam kejadian 6 Oktober lalu, mangsa yang pada mulanya hendak menggunakan perkhidmatan Grab, dipujuk pemandu teksi terbabit untuk menaiki keretanya yang mengenakan tambang lebih murah kerana menggunakan meter.
Wanita berusia 52 tahun itu mendakwa pemandu terbabit menggunakan sekeping kain untuk menutup meternya dan tidak membenarkan beliau keluar dari keretanya jika enggan membayar baki tambang itu dengan memasukkan wang ke dalam akaun banknya.
Mengulas lanjut, Shamsubahrin meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas seperti menarik balik lesen teksi, jika terbukti pemandu itu bersalah.
“Pihak berkuasa jangan tidur apabila laporan dibuat, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi, tidak kira bangsa apa pemandu teksi itu. Polis juga jangan lindungi sesiapa.”
- FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan