Ramai telah tahu tentang isu hangat fake dentist membuat rawatan fake braces. Ini bukan isu baru, beberapa fake dentist telah diambil tindakan. Cuma kali ini beliau telah dilepaskan semula atas wang insan sebanyak RM70,000 dari beberapa kumpulan dan individu. Ramai rakan-rakan seperjuangan baik dalam bidang pergigian mahupun kesihatan masing-masing meluahkan perasaan di social media berikutan kes tersebut.
Rata-rata kecewa kerana dipanggil 'doktor gampang' dan seolah-olah sengaja menyusahkan orang lain mencari rezeki. Ramai juga hashtag 'doktor gigi berkabung' diatas rentetan perjalanan kes tersebut. Mungkin masyarakat tak dapat rasa sepenuhnya apa yang kami rasa. Sedih kami bukan hanya kerana diri sendiri.
Rasa sedih kami adalah untuk masyarakat. Ya kalian semua.
Berikut kenyataan Ketua Unit Pergigian Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik), Dr Nabilah Mohd Yaakob mengenai isu ‘fake brace’ atau pendakap palsu gigi, yang mana pesalah telah dijamin oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
1. I-Medik berpendapat tindakan memberi perkhidmatan ‘braces’ tanpa daftar dan tanpa sijil kelayakan yang sah oleh sesiapa pun adalah bersalahan mengikut undang-undang. Tambahan lagi, perbuatan tersebut adalah sangat berbahaya kepada orang awam yang memilih untuk membuat rawatan dengan pihak ini dengan alasan kos rawatan yang lebih rendah dan mudah didapati berbanding di klinik pergigian berdaftar.
2.Masyarakat perlu diberi kesedaran akan kepentingan mendapatkan rawatan profesional berbanding rawatan yang indah khabar dari rupa.
3. Bukan setakat ‘fake braces’, mendapatkan rawatan pergigian seperti gigi palsu, tampalan atau cabutan di rumah juga sedang berleluasa yang kebanyakan pesakit akan datang semula mendapatkan khidmat profesional sekiranya terdapat komplikasi kerana kelazimannya pihak yang memberi rawatan palsu atau tiada kelayakan ini akan mengambil tindakan berlepas tangan atau enggan bertanggungjawab.
4. Pemasangan ‘fake braces’ dan beberapa rawatan asas pergigian perlulah dilaksanakan secara steril di klinik berdaftar bagi mengelakkan komplikasi rawatan. Masalah akan timbul apabila jangkitan silang penyakit berjangkit mula tular semula seperti Hep B, Hep C, TB dan lain-lain lagi. Di samping itu, susunan gigi yang tidak teratur hanya akan menjadi lebih teruk jika ‘fake braces’ dipasang tanpa ilmu dan berdasarkan ilmu Youtube sahaja.
Kita pastinya tidak mahu keadaan ini berterusan kerana akhirnya apabila berlaku komplikasi, mangsa akan mula datang kepada pegawai pergigian berdaftar untuk membetulkan semula apa yang telah rosak.
Gigitan atas dan bawah tidak boleh bertemu, gigi goyang dan terpaksa dicabut, serta muka dan gusi bengkak kerana jangkitan – semuanya boleh berlaku jika tidak ada penjagaan yang baik sepanjang proses rawatan berlaku.
5. Berikutan kes wanita tersebut yang dilepaskan dari penjara 6 bulan atas bantuan NGO seperti PPIM, PPEM dan orang awam, pihak I-Medik merasakan ianya bukanlah tindakan wajar untuk membiarkan pesalah laku ini bebas dan diberi peluang kedua. Malahan kita bimbang sekiranya perkara ini berulang lagi, pesalah laku sudah lali dengan hukuman yang dikenakan undang-undang, hanya kerana mendapat sokongan belakang orang ramai.
Kita gusar jika tiada tindakan tegas dikuatkuasakan, akan lebih ramai lagi orang awam yang bakal menjadi mangsa kerakusan pihak tidak bertanggungjawab seperti mereka ini.
6. Sebagai individu muslim, kita seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab ke atas setiap tindakan yang kita lakukan. Perkhidmatan yang diberikan tanpa sijil akhirnya akan memberi lebih mudarat kepada orang ramai yang tidak bersalah. Harta yang dicari dengan cara yang tidak halal adalah tidak berkat dan menjadi asbab kepada azab seksa di akhirat.
Oleh yang demikian, pihak I-Medik bahagian Pergigian menggesa agar:
(1) Semua pengguna berhati-hati dengan sebarang perkhidmatan pergigian tidak berdaftar. Gunakanlah khidmat kesihatan pergigian kerajaan atau swasta yang terbukti pendaftarannya dengan pihak autoriti.
(2) Orang awam juga dinasihati agar memboikot sebarang khidmat pergigian di rumah-rumah, hotel-hotel, dan premis tidak berdaftar. Laporkan sebarang kegiatan mereka kepada pihak kementerian dan sama sekali jangan menyokong aktiviti haram ini.
(3) Semua pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan diharap dapat menyokong inisiatif dan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan dan seruan-seruan yang dilaungkan mestilah tidak bertentangan dengan polisi dan undang-undang yang telah digariskan.
Dr Nabilah binti Mohd Yaakob
Pegawai Pergigian dan Ketua Unit Pergigian Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik)
_____________________________________________________
DAKWAAN PALSU OLEH "DR GIGI PALSU"
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan sokongan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigipalsu.
Dalam satu kenyataan media oleh Setiausaha Sulit Kanan Aziaan Ariffin berkata pihaknya termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan mana-mana anggota pentadbiran tidak pernah menyokong dan tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar peraturan negara.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah atas kesalahan menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa tauliah memuat naik status di Instagram bahawa perniagaannya mendapat sokongan pihak kementerian.
Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 29 September lalu menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dari Alor Setar, Kedah atas tuduhan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil, Januari lalu.
Mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pesakit kerana proses menjalankan pendakap gigi hanya boleh dilakukan doktor bertauliah.
Walau bagaimanapun, Nur Farhanis telah dibebaskan dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatu Penggiat Ekonomi Malaysia (PPEM) yang membaca kes di media dan memutuskan untuk mengutip derma bagi membayar denda tersebut.
- ASTRO AWANI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan