BEBERAPA hari lepas saya menerima satu emel daripada seorang pembaca katanya begini: Puan, tulislah tentang budaya kerja dalam sesebuah organisasi pula. Bukannya apa, selain Puan selalu tulis tentang kos sara hidup naik yang memberi tekanan kepada rakyat, suasana tempat kerja pun turut menyumbang pada tekanan. Bukankah begitu? Kadang-kadang sampai kita boleh dapat darah tinggi, sakit jantung atau silap-silap terus strok, katanya.
Cakap banyak kerja kurang, atau sekadar pandai bercakap tetapi apabila masuk bab kerja ‘hancur’ contohnya, memberi kesan bukan sahaja kepada produktiviti dan prestasi syarikat tetapi mencetuskan suasana tidak harmoni persekitaran kerja. Kita semua mahu bekerja dalam suasana santai dan gembira. Tidak mahu serabut-serabut kepala!
Sudahlah terpaksa bersesak-sesak pada waktu pergi dan pulang kerja mengharungi lebuh raya dengan membayar tol yang tinggi, tambang tren pun dah naik harga, harga barang-barang keperluan pun tidak macam dulu lagi, ini masuk pejabat pula berdepan dengan perangai seperti ini. Ini pun satu masalah sosial juga, katanya lagi.
Ya, betul. Sebenarnya, mana-mana tempat kerja pun kita akan berhadapan suasana begini. Ini namanya masalah sikap. Sikap kita terhadap kerja. Kalau kita hendak kaitkannya dengan budaya kerja, mungkin boleh jugalah. Sebabnya, kita memang selalu pun berhadapan dengan perkara-perkara sebegini. Jangan kata, tidak ada.
Tetapi itulah, isu ini jarang-jarang sekali hendak dibangkitkan. Ini kerana kita lebih suka mengambil sikap bising-bising di belakang-belakang saja atau mungkin menganggap hal ini remeh atau mungkin juga perbuatan ini terkena pada batang hidung sendiri. Pandai cakap saja, kerja kurang, jadi tak payah tulislah.
Yang kita selalu bangkitkan tentang pekerja adalah isu disiplin yang melibatkan hal-hal ponteng kerja, lewat datang kerja, kerja gagal disiapkan pada masanya, gagal memberikan mutu perkhidmatan yang baik terutamanya yang membabitkan pekerja yang berurusan dengan orang ramai dan lain-lain.
Walhal, sikap pekerja yang lebih kepada menonjol-nonjolkan diri tetapi tiada hasil apa-apa pun, ini juga sebenarnya akan memberi masalah yang amat besar kepada sesebuah organisasi. Manakan tidak, kalau seorang dua, mungkin tidak nampak kesannya.
Bagaimana jika separuh daripada pekerja mempunyai perangai seperti ini dan bagaimana pula kalau yang menjadi mangsa adalah pekerja yang betul-betul bekerja tetapi tidak bising-bising mencanang hasil kerjanya dan yang tukang bising itu pula mendakwa itu adalah hasil kerjanya atau paling tidak pun datang daripada buah fikirannya yang sebenarnya tidak berapa hendak berbuah itu.
Justeru, saya berpendapat budaya cakap banyak kerja kurang dan cakap pandai tetapi kerja tidak tahu atau lebih kepada sikap membodek yang melulu juga sama teruk dan buruk kesannya kepada syarikat.
Sebabnya, kalau ramai orang yang sebegini ada dalam syarikat, ia hanya merosakkan. Syarikat memerlukan pekerja yang benar-benar boleh bekerja. Dibayar gaji pun untuk bekerja bukan untuk banyak cakap.
Sikap hanya pandai cakap tetapi tidak boleh bekerja ini bukan sahaja tidak memberi keuntungan kepada syarikat. Dan paling teruk kalau ia melibatkan orang lain. Ibarat lembu punya susu sapi dapat nama.
Mungkin yang mendapat nama dan habuannya adalah si tukang bising itu. Dia mungkin tidak pasal-pasal menerima kenaikan gaji atau pangkat. Sedangkan yang benar-benar membuat kerja itu, kekallah di situ dan menganggap itu bukan rezekinya. Biarlah. Tak mengapalah. Rezeki bukan saja datang dalam bentuk wang tetapi diberi kesihatan yang baik itu juga rezeki, mendapat anak cemerlang dalam pelajaran itu juga rezeki, bahagia itu juga rezeki dan macam-macam lagi untuk menenangkan hati sendiri.
Apa pun yang perlu difikirkan sebelum bertindak menjadi seperti tin kosong ialah orang lain pun ada anak isteri yang perlu diberi makan. Maka bekerjalah mengikut job spec yang diberikan. Percayalah kepada kebolehan diri dengan memberikan hasil kerja yang terbaik. Tidak perlu jadi ‘tukang kipas’. Dalam pejabat pun sana sini sudah ada pendingin hawa. Bekerjalah macam biasa. Bukan susah sangat pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan